Sultan Ibrahim terima mengadap  Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil ( tengah) dan Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin ( kiri) di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di sini.

JOHOR BAHRU – Pusat Santuari Gajah (JES) di Kota Tinggi mampu menjadi produk pelancongan baharu di Johor.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi hantaran di Laman Facebook bertitah, JES juga berupaya meningkatkan kualiti habitat haiwan berkenaan.

Sebelum itu, baginda berkenan menerima menghadap Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil dan Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi.

Pada pertemuan itu, Aminuddin mempersembahkan taklimat pelaksaaan dan perkembangan penyelarasan Projek Santuari Gajah Johor kepada Sultan Ibrahim.

Aminuddin memberitahu, tujuan pembinaan pusat berkenaan antara lain bagi memperkasakan pengurusan gajah dengan mengurangkan masalah gangguan haiwan liar itu di kawasan pertanian serta penempatan.

Komponen pembangunan yang telah disiapkan dalam fasa 1 meliputi padok gajah, padang ragut, jambatan, jalan masuk utama, bangunan pentadbiran, serta berek pekerja, ujarnya.

Beliau turut mempersembahkan taklimat pelaksanaan pembangunan fasa 2 Pusat Santuari Gajah (2020-2025) antara lain merangkumi aktiviti kemudahan pelawat, pemantauan pagar elektrik serta kelengkapan sistem amaran awal, pembangunan landskap serta program bersama penduduk setempat.

Kemudahan dataran pelawat antara lain menempatkan surau, kedai cenderahati, kafe, laluan siar kaki, mercu tanda, taman permainan dan wakaf.

Pusat berkenaan dijangka dibuka kepada orang awam selepas berakhirnya pembangunan fasa 2 pada 2025. – MalaysiaGazette