Menteri Wilayah Perseketuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bercakap pada sidang media di Residensi Satumas, Taman Desa, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 22 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tidak salah untuk bahagiannya memberikan pandangan berhubung kerjasama UMNO dengan parti-parti bumiptera yang lain.

Katanya, pandangan tersebut dikemukakan dalam mesyuarat UMNO Bahagian Arau kerana tiada sebarang arahan diberikan oleh kepimpinan Pusat mengenai perkara itu.

“Apakah beri pandangan itu satu kesalahan? Tapi kalau kita beri setelah keputusan dibuat oleh pengurusan agar tidak boleh membuat pandangan, kita patuh.

“Kita patuh kepada arahan tapi setakat beri pandangan, semua orang beri pandangan cumanya cakap-cakap di kedai kopi.

“Sesetengah beri pandangan di ‘coffee house’, saya beri pandangan dalam mesyuarat dan pandangan itu bukan dari saya tapi cadangan daripada UMNO Arau yang dibentangkan dan dibuat keputusan.

“Tapi ada MT (Majlis Tertinggi) kata keputusan itu telah melangkaui. Itu kita ikut, kita bukan nak berlawan dengan orang,” katanya majlis penyerahan kunci Residensi Desa Satumas, hari ini.

Ahli Parlimen Arau itu ditanya mengenai ketetapan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka.

Malah menurut Ahmad Zahid penolakan itu sudah lama diputuskan sejak Perhimpunan Agung UMNO lepas.

Rabu lalu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, keputusan UMNO Bahagian Arau agar UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka bekerjasama dengan PN dalam PRN Melaka dibuat atas kapasiti peribadi Shahidan.

Syed Atif berkata Shahidam bersikap lebih menyebelahi Bersatu dalam perkara itu.

Untuk rekod, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan melalui laman Facebook rasminya berkata, UMNO Bahagian Arau mencadangkan agar UMNO dan BN Melaka bekerjasama dengan Bersatu dan Pas dalam PRN Melaka pada 20 November ini. – MalaysiaGazette

Shahidan jadi ejen propaganda Bersatu dalam UMNO – Syed Atif