Dr Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Seorang penganalisis politik menyifatkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang “pelupa” berhubung isu Pulau Batu Puteh.

Dr Kamarul Zaman Yusof yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara mendakwa, tindakan Dr Mahathir membatalkan permohonan semakan semula bagi kes Pulau Batu Puteh amat sukar difahami kerana ia terang-terang bercanggah dengan pendirian awal beliau sendiri.

Selain itu katanya, ia juga secara terang-terangan bercanggah dengan janji-janji manis yang dilafazkan oleh Dr Mahathir ketika menerajui Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Bagaimana agaknya Dr Mahathir boleh membiarkan Batu Puteh terlepas ke tangan Singapura selama-lamanya dan menyanggah titah Sultan Johor bila Janji 11 Manifesto PH menyebut, PH akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Raja-Raja Melayu di tempat tertinggi.

“Manakala, Janji 58 menyebut PH akan berpegang dengan prinsip bahawa sempadan negara dan kedaulatan Malaysia adalah perkara paling asas yang tidak boleh dikompromi.

“Lupakah Dr Mahathir bahawa beliau sendiri mengkritik keras wakil Malaysia pada 31 Mei 2008 kerana tidak mempersoalkan kesahihan surat bertarikh 21 September 1953 daripada Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu juga lupa bahawa beliau sendiri mengkritik keras keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 31 Julai 2008 yang disifatkan mengejutkan beliau kerana keputusan itu didasarkan kepada satu surat yang ditulis oleh pegawai rendah Johor semasa di bawah jajahan British kepada pegawai British di Singapura sedangkan sepatutnya ianya hendaklah dititah dan ditulis di bawah kuasa Sultan.

“Mengapakah setelah peluang terbuka luas untuk Malaysia mendapatkan kembali Batu Puteh, Dr Mahathir melepaskannya tanpa memberikan apa-apa penjelasan yang konkrit serta hanya membiarkan timbalan menteri undang-undang menjawabnya dan tidak berani menjawabnya sendiri bila isu itu ditimbulkan di Dewan Negara pada 3 September 2018,” ujarnya.

Menurut Kamarul Zaman lagi, Dr Mahathir tidak boleh menggunakan hujah jika sebuah negara tidak menghormati janji, tidak ada negara lain yang akan membuat perjanjian dengan negara berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang telah dalam waktu singkat menunjukkan keberanian untuk membongkar kisah sebenar yang menyebabkan Malaysia kehilangan pulau berkenaan dan kehilangan peluang untuk menuntutnya kembali serta untuk meneliti opsyen-opsyen yang ada. – MalaysiaGazette