Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih pentadbiran kerajaan dari Mei 2018 hingga Februari 2020 harus dipertanggungjawabkan atas kehilangan Pulau Batu Puteh.

Persoalan timbul, kenapa kerajaan itu yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri tidak mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia itu, yang jatuh ke tangan Singapura.

Perkara itu dibangkitkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berikutan Malaysia mempunyai bukti baharu yang boleh meneruskan semakan terhadap penghakiman kawasan berkenaan.

“Yang jelas, kerajaan PH telah cuai dalam tindakannya mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia dan wajar dipertanggungjawabkan ke atas tindakan culas itu.

“Namun, Dr. Mahathir tidak menjawab persoalan sebenar mengenai Pulau Batu Puteh itu, iaitu apakah sebab sebenarnya kerajaan PH tidak meneruskan semakan terhadap penghakiman ke atas Pulau Batu Puteh.

“Benar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak boleh dirayu, tetapi dengan timbulnya bukti terbaharu, satu permohonan untuk semakan telah dikemukakan oleh Malaysia pada Februari 2017,” katanya yang dipetik menerusi Facebooknya, hari ini.

Menurut beliau, pada 30 Jun 2017, Malaysia mengemukakan permohonan untuk ICJ mentafsirkan penghakimannya pada 2008 mengenai Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Katanya, ICJ telah bersetuju untuk mendengar penghujahan Malaysia dengan memberikan tarikh bagi pendengaran semakan tersebut.

Beliau berkata, dua daripada bukti baharu ditemui itu adalah dokumen yang hanya boleh diakses setelah tahun 2008 dan secara undang-undang, dokumen itu hanya boleh diakses setelah tamat tempoh kerahsiaannya.

“Dokumen pertama menunjukkan, pegawai tertinggi Singapura tidak pernah menganggap Pulau Batu Puteh sebahagian daripada Singapura.

“Dokumen kedua pula menunjukkan, Tentera Laut British memperakui perairan di kawasan ketiga-tiga pulau tersebut adalah perairan dan wilayah Johor.

“Dokumen terakhir ialah peta operasi Tentera Laut British menunjukkan sempadan wilayah Singapura tidak termasuk Pulau Batu Puteh,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, semua dokumen itu dengan jelas menunjukkan Pulau Batu Puteh tidak berada dalam wilayah republik Singapura dan sewajarnya penemuan bukti material itu memerlukan ICJ memutuskan nilainya terhadap tuntutan Malaysia.

“Jadi, kenapa di sebalik semua bukti baharu ini, kerajaan PH ketika itu memutuskan untuk tidak meneruskannya proses semakan tersebut.

“Jika Dr. Mahathir telah dinasihati oleh sekumpulan pakar undang-undang antarabangsa, siapakah mereka dan apakah nasihat yang mereka kemukakan dalam konteks bukti baharu yang ditemui,” tegas beliau. – MalaysiaGazette