Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kadar vaksinasi dos pertama bagi golongan remaja berumur di antara 12 hingga 17 tahun menerusi Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 80.2 peratus atau bersamaan 2,524,156 individu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar itu merupakan antara yang terpantas di dunia.

Menurutnya, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 juga telah bersetuju agar kemudahan vaksinasi lengkap untuk golongan dewasa ketika ini turut diperluas kepada golongan remaja yang telah divaksin lengkap.

“Ini bermakna, syarat vaksinasi lengkap bagi remaja ini akan dinyatakan dalam semua prosedur operasi standard (SOP).

“Bagaimanapun, ia tidak akan dilaksanakan serta-merta. Kerajaan akan selaraskan kemudahan-kemudahan berkaitan dan memberi golongan remaja grace period selama tiga minggu atau sehingga pertengahan bulan November,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tempoh ini adalah bagi memastikan kira-kira 80 peratus remaja yang telah menerima dos pertama ketika ini, selesai divaksin lengkap.

PICK bagi golongan remaja ini telah bermula secara rasmi pada 20 September 2021. – MalaysiaGazette