KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan stesen televisyen maut dalam kemalangan ketika berbasikal membabitkan sebuah kereta Perodua Bezza.
Kejadian berlaku sekitar jam 8.15 pagi tadi di Kilometer 38.3 Jalan Cyberjaya (Dengkil) – Puchong menghala ke Cyberjaya.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, semasa kejadian permukaan jalan lima lorong adalah rata, kering dan cuaca baik.
“Semasa kejadian, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dikenalpasti sebagai kakitangan stesen televisyen swasta Astro sedang menunggang basikal jenis TREX di jalan utama lima lorong itu,” katanya.
Menurutnya, tiada sebarang papan tanda larangan untuk penunggang basikal berada di jalan tersebut.
“Kami menerima maklumat kemalangan maut membabitkan basikal dan juga kereta berlaku di Jalan Cyberjaya (Dengkil)/Puchong menghala ke Cyberjaya itu.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan pihak polis mendapati kereta Bezza yang dipandu wanita itu dari susur keluar Putrajaya/Bangi telah melanggar belakang basikal TREX yang dikayuh mangsa dari arah Puchong.
“Semasa kejadian mangsa sedang berbasikal di lorong tiga dan akibat rempuhan di belakang basikal, mangsa tercampak di atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, basikal mangsa rosak dan hancur teruk di bahagian belakang akibat perlanggaran itu.
Menurunya , pemeriksaan pada kenderaan suspek mendapati Proton Bezza jua mengalami kerosakan.
Pemandu wanita berusia 38 tahun bekerja sebagai pereka perindustrian beralamat di Bandar Baru Bangi tidak mengalami kecederaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Kenderaannya juga dibawa ke IPD Sepang untuk membantu siasatan lanjut.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang bagi tujuan proses bedah siasat untuk mendapatkan punca kematiannya.
“Kes sedang dikendalikan oleh pegawai penyiasat Inspektor Noor Faizah Hamdan dan diklasifikasi serta disiasat di bawah Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai.
“Maklumat lanjut orang awam berkaitan kejadian kemalangan itu boleh disalurkan kepada Noor Faizah di talian 013-8024605 bagi membantu siasatan,” tegasnya.-MalaysiaGazette