pelancongan langkawi
Pengunjung tidak melepaskan peluang menaiki kereta kabel yang kembali beroperasi berikutan gelembung pelancongan Pulau Langkawi di Skycab Pulau Langkawi, Kedah. Foto HAZROL ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dilaksanakan di Pulau Langkawi selepas diangkat menjadi projek rintis bagi gelembung pelancongan antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini bersetuju dengan cadangan SOP yang dibentangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berhubung gelembung pelancongan antarabangsa (inbound) bagi Projek Rintis Pulau Langkawi.

“Bagi pelancong antarabangsa yang berhasrat memanfaatkan gelembung pelancongan antarabangsa ini perlulah memenuhi syarat dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata SOP akan bermula daripada pra perlepasan sehinggalah pelancong ingin pulang ke negara asal masing-masing.

“Hanya individu yang lengkap divaksin dibenar untuk melancong ke Pulau Langkawi di mana anak berusia bawah 18 tahun wajib ditemani ibu atau bapa atau penjaga.

“Senarai negara yang dibenarkan juga tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia atau Kementerian Kesihatan Malaysia atau Kementerian Luar Negeri.

“Selain itu, setiap pelancong diwajibkan untuk membuat ujian saringan PCR-RT Covid-19 72 jam sebelum penerbangan,” katanya.

Beliau berkata, untuk gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi ini juga tiada syarat kuarantin dikenakan.

“Mereka juga perlu mengambil insurans dan menggunakan khidmat pelancongan berlesen di bawah Motac.

“Para pelancong juga wajib memuat naik aplikasi MySejahtera sepanjang berada di Langkawi,” ujarnya.

Ismail Sabri berkata, jika ada pelancong yang positif, mereka akan terus dibawa ke pusat pengasingan atau kuarantin atau hospital swasta dengan semua kos ditanggung sendiri oleh mereka.

Projek rintis ini akan dijalankan selama tiga bulan bagi KKM dan MKN menilai keberkesanannya sebelum dilaksanakan di pulau-pulau peranginan serta kawasan pelancongan yang lain.

Pulau Langkawi telah dibuka secara rasmi pada 16 September lalu selepas mencatat penurunan kes Covid-19. -MalaysiaGazette