Gambar hiasan

PASIR MAS – Seorang lelaki yang mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan pernah dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) sekali lagi ditahan selepas memiliki sebanyak 94,600 batang rokok seludup bernilai RM189,200 di Kampung Dangar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua rokok itu dijumpai di rumah suspek berusia 49 tahun itu ketika serbuan dilakukan pada kira-kira 11 malam.

“Pemeriksaan badan ke atas suspek gagal menemukan sebarang barangan larangan namun selepas pemeriksaan dilakukan di dalam rumahnya, 10 kotak besar mengandungi 94,600 batang rokok putih dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kes berasingan, Mohd Nasaruddin berkata pihaknya merampas 400 biji pil kuda selepas menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di hadapan sebuah kedai di Kampung Tobuak di Tendong di sini pada 11.30 malam tadi.

Ketika ditahan dan pemeriksaan badan dilakukan, polis menemukan satu beg hitam kelabu di pinggang suspek sebelum menjumpai dua paket plastik biru berisi 400 biji pil kuda bernilai RM4,000.

“Suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamin serta memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah,” katanya menambah kes rampasan pil kuda ini akan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen15(1)(a) akta yang sama. – Bernama