KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dilihat menggunakan agenda yang bersifat memecah belahkan solidariti kelompok teras, iaitu Melayu, Islam dan Bumiputera untuk berkuasa semula.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia ramuan tepat dan merupakan percubaan memperkasa semula Pakatan Harapan (PH).
“PH amat berharap dan menanti-nantikan saat UMNO tidak lagi berada di dalam saf penyatuan ummah.
“Setakat ini muafakat Melayu bersama rakan-rakan lain yang sederhana dan setiakawan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) telah berkali-kali menggagalkan perancangan ‘cikgu dan maulana PH’,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian parti yang dicapai menerusi Perhimpunan Agung UMNO pada Mac lalu, tidak akan bekerjasama dengan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kerjasama untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 20 November depan.
Jelasnya, keputusan itu muktamad.
“Untuk Bersatu kita telah buat keputusan tidak akan pernah bekerjasama dengan mereka. Noktah!,” katanya.
Pada 4 Oktober lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Keempat-empat mereka telah memberikan sokongan kepada PH dengan menyatakan Sulaiman hanya menjadi boneka kepada beberapa individu lain di Melaka.
Mereka adalah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November depan sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dan hari penamaan calon pada 8 November. – MalaysiaGazette