Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menunjukkan kedai Kipidap Fried Chicken ketika di Seri Kembangan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 OKTOBER 2021.

SERI KEMBANGAN – Semua pihak perlu bersatu hati memperjuangkan hak negara dalam menuntut Pulau Batu Puteh sebagai mana yang sedang diusahakan oleh kerajaan ketika ini.

Bagi tujuan itu, seluruh rakyat Malaysia harus menyokong sepenuh hati usaha tersebut agar kedaulatan negara dapat dipertahankan, kata Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia, Abdul Rani Kulup.

Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘raja report’ berkata, hanya dengan sokongan daripada keseluruhan rakyat, usaha untuk mendapatkan Pulau Batu Puteh mampu menjadi kenyataan

“Kuatnya kerajaan Malaysia, kuatnya bangsa Malaysia, kuatnya rakyat Malaysia adalah dengan bersatu padunya. Benda pencabulan hak asasi milik kita diambil oleh orang adalah kerana lemahnya kita, lemah segala-galanya, jadi senang orang ambil.

“Nak bina kekuatan jangan berpecah belah, jangan berterabur, rakyat kena satu hati,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pembukaan perniagaan ayam goreng Kipidap Fried Chicken dan kedai serbaneka Besmart di sini, hari ini.

Abdul Rani diminta mengulas mengenai isu Pulau Batu Puteh memandangkan beliau merupakan salah seorang daripada pemimpin NGO yang lantang dalam memperjuangkan kedaulatan.

Dalam pada itu Abdul Rani mengingatkan agar pemimpin-pemimpin negara menuntut hak itu bersungguh-sungguh supaya kali ini hasrat untuk mendapatkannya tercapai, sekali gus kedaulatan negara dapat dipertahankan.

Pada 14 Oktober lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika benar ada pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dengan tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

Baginda mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Sultan Johor yang terkilan dengan perkara itu bertitah, tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang kerana tidak meneruskan permohonan itu sedangkan telah menemukan bukti baharu yang berpihak kepada negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast