Kuala Lumpur KL city centre RMK12 Twelfth Malaysia Plan 12th
Pemandangan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

SINGAPURA – Singapura menyenaraikan Malaysia di bawah Kategori III berbanding Kategori IV sebelum ini, selepas republik ini mengadakan semakan berkala mengenai situasi COVID-19.

Ini bermakna semua pengembara dari Malaysia perlu menjalani kuarantin 10 hari di rumah atau kediaman yang diisytiharkan dalam Notis Tinggal di Rumah (SHN) di Singapura bermula 27 Oktober 2021.

Peraturan ke atas pengunjung dari Malaysia itu serta ahli keluarga mereka dibuat secara menyeluruh tidak mengira status vaksin dan sejarah perjalanan mereka, menurut Pasukan Petugas Pelbagai  Kementerian (MTF) mengenai COVID-19 hari ini.

Selain Malaysia, negara lain yang bakal dimasukkan dalam kategori III adalah Kemboja, Mesir, Hungary, Indonesia, Israel, Mongolia, Qatar, Rwanda, Samoa, Seychelles, Afrika Selatan, Tonga, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam.

Singapura melaksanakan penetapan empat kategori negara atau rantau pada Ogos tahun ini dengan kadar vaksinasi populasi sesebuah negara atau rantau menjadi asas untuk menentukan langkah kawalan di sempadan.

Keadaan COVID-19 di Malaysia semakin baik dengan ketara dengan perangkaan pada Jumaat menunjukkan 94.4 peratus penduduk dewasa di negara itu sudah pun lengkap menerima vaksin.

Dalam satu kenyataan media, MTF menyatakan: berdasarkan syarat dalam kategori berkenaan,  mereka tidak akan ditempatkan di kemudahan khas SHN.

“Penduduk yang pulang seharusnya memastikan sudah mempunyai kediaman alternatif terlebih dulu andai rumah mereka tidak sesuai dijadikan SHN,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, MTF menegaskan, jika mereka yang memasuki negara itu tinggal di kediaman yang dihuni mereka yang belum divaksin serta berisiko, mereka amat digalakkan supaya menjalani tempoh kuarantin di dalam bilik serta mengurangkan kontak dengan penghuni rumah yang lain.

Mengenai prosedur saringan, mereka yang tertakluk dalam kuarantin kategori III tidak lagi perlu menjalani ujian saringan Antigen Rapid Test (ARTs) pada hari ketiga dan ketujuh selepas tiba di negara itu.

Ini termasuk mereka yang tiba bermula 22 Oktober.

Semua yang tiba menerusi senarai Kategori III juga tidak lagi perlu menjalani saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) sewaktu ketibaan dan hanya perlu menjalani ujian PCR pada tarikh akhir tempoh SHN.

Bagaimanapun, bagi Pemegang Pas Jangka Panjang (LTPH) yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), mereka mungkin perlu mematuhi beberapa peraturan dan syarat tambahan.

“Kami akan terus mengubah suai langkah kawalan sempadan sejajar dengan perkembangaan keadaan dunia, supaya kami dapat kembali menyambung hubungan dengan dunia dan memulihkan kedudukan ekonomi republik ini di peringkat global,” kata pasukan berkenaan.

Bagi mereka yang tiba di republik itu tetapi bukan warga Singapura atau pemegang pas pemastautin, mereka boleh berada di Singapura untuk tempoh singkat andai mereka tiba dari negara yang disenaraikan dalam Kategori I, kecuali mereka sudah pun disenarai dalam peraturan perjanjian Laluan Perjalanan bagi Orang yang Divaksin (VTL) atau Laluan Khas Hijau. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast