BERUAS – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang meneliti 223 permohonan daripada nelayan di seluruh negara, yang ingin mendapatkan peruntukan di bawah program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan.

Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, menerusi program tersebut, LKIM komited dalam memastikan taraf hidup nelayan dapat ditingkatkan dengan cara memodenkan kapal dan mekanisasi penangkapan ikan.

“Setakat ini, sebanyak RM51 juta daripada RM150 juta peruntukan telah diagihkan kepada nelayan di seluruh negara menerusi program itu, yang sekali gus dapat meningkatkan taraf ekonomi golongan tersebut.

“Daripada RM150 juta berkenaan, RM105 juta diperuntukkan untuk memodenkan vesel, manakala selebihnya untuk mekanisasi penangkapan ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Road to 50 Tahun LKIM dan penyerahan sumbangan 50 kotak makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin kepada nelayan di Bagan Panchor, di sini hari ini.

Turut berlangsung perarakan 50 bot nelayan termasuk sampan, bot kelas A, B dan C di perairan Bagan Panchor, bagi meraikan sambutan Jubli Emas 50 Tahun LKIM bersama nelayan.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, sehingga kini sebanyak 258 vesel dari kelas A dan B terlibat dalam program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan, sama ada membeli bot baharu bagi menaik taraf kelas vesel atau menambah baik mekanisasi peralatan menangkap ikan pada vesel sedia ada.

“Pengusaha yang layak akan menerima peruntukan maksimum sehingga RM5 juta seorang bagi memodenkan vesel mereka, sama ada untuk membeli vesel baharu atau menambah baik bot sedia ada seperti menaik taraf kapasiti enjin atau peralatan,” katanya. – Bernama