Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil bercakap dengan dengan komuniti masyrarakat india Lembah Pantai selepas menyerahkan Baucer Hamper Deepavali Kepada Golongan Berpendapatan Rendah dan Pelancaran Tabung Kebajikan Kovil di Kovil Arulmigu Ramalingeswaran Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Setelah Perikatan Nasional (PN) mengumumkan untuk meletakkan calon mereka di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tindakan sama turut akan dilakukan Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi pertembungan tiga penjuru antara PN, UMNO-BN dan gabungan itu kerana kebanyakan kerusi akan  menyaksikan pertembungan yang sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Kita perlu bersedia sebab mesej pimpinan utama BN dan PN sangat jelas dan sebenarnya PH tidak menghiraukan perkara itu kerana pada PRU14 banyak daripada kerusi ini memang telah berlaku pertembungan tiga penjuru cuma isunya pada waktu itu Bersatu ada politiknya sendiri.

“Kali ini kita nampak beberapa perkara yang telah berubah dan kita tunggu dan lihat bagaimana pengakhirannya nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Fahmi berkata demikian selepas majlis pelancaran Tabung Kebajikan Kovil Arulmigu Sri Ramalingewarar, di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan gabungan itu akan bertanding di semua 28 kerusi DUN dalam PRN Melaka yang akan diadakan pada 20 November ini.

Muhyiddin memberitahu, perkara itu telah dipersetujui secara dasar oleh parti PN yang berpusat di Semenanjung iaitu Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan.

Untuk rekod, pada PRU lalu Bersatu bertanding di enam kerusi DUN Melaka yang mana parti itu hanya menang dua kerusi, di Paya Rumput dan Telok Mas, sementara Pas bertanding di 24 daripada 28 kerusi dan tidak menang sebarang kerusi.

Gerakan yang bertanding di Pengkalan Batu bagaimanapun tidak memenangi kerusi tersebut.

Pertembungan tiga penjuru sudah hampir pasti apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi pendirian parti itu untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil bercakap dengan media selepas menyerahkan Baucer Hamper Deepavali Kepada Golongan Berpendapatan Rendah dan Pelancaran Tabung Kebajikan Kovil di Kovil Arulmigu Ramalingeswaran Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 OKTOBER 2021.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi untuk PH, Fahmi berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah kerana 22 kerusi DUN pada PRN Melaka sudah dimuktamadkan dan hanya berbaki enam lagi kerusi yang ditandingi Bersatu pada 2018 lalu untuk diagihkan.

“Ada sedikit lagi yang perlu dibincangkan, tidak ada pertikaian untuk lebih kurang 22 kerusi yang ditandingi oleh PKR, DAP dan Amanah sebelum ini, cuma untuk membahagikan enam kerusi yang ditandingi oleh Bersatu pada PRU14 lalu.

“Saya lihat mungkin dalam 80 peratus daripada perbincangan itu hampir selesai tapi ada beberapa isu lagi cuma setakat ini saya belum diberikan maklumat terkini ataupun status.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dan kita akan bincang dan dapat putuskan beberapa perkara mustahak mengenai perkara ini,” jelas Fahmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Erhm… Pelancaran tabung kebajikan kovil oleh orang Islam!!! Jaga-jaga lah dalam mengejar populariti dan cita-cita politik. Jangan sampai tergelincir dari akidah Islam!!!

Comments are closed.