M. Saravanan

SERDANG – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengakui tidak berani untuk membawa masuk pekerja asing ketika negara masih berjuang melawan pandemik Covid-19.

Beliau mengakui risiko tinggi terhadap tanggungjawab yang perlu digalasnya sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, termasuk kegagalan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Saya nak lihat bagaimana kita boleh ikut SOP baharu. Saya bukanlah berani sangat nak bawa masuk pekerja asing sebab kalau apa-apa tidak ingin berlaku, saya yang akan dituduh,” katanya ketika menziarahi dan menyantuni lima beradik yang kehilangan ibu bapa akibat jangkitan Covid-19 di Seri Kembangan, di sini, hari ini.

Namun katanya, pada masa ini sektor perladangan sangat memerlukan pekerja asing memandangkan warga tempatan kurang berminat bekerja dalam sektor tersebut.

“Walaupun saya kejam kepada pihak peladang saya sedar mereka betul-betul memerlukan pekerja  asing. Saya masih main tarik tali sebab saya masih mengharap ada anak tempatan bekerja bidang ini tapi mereka tidak minat lagi,” tambah beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebenaran menggaji pekerja asing tidak boleh disalahgunakan oleh sektor perladangan.

“Mereka juga perlu buktikan pada saya tidak semua kategori kerja perladangan dibuat oleh pekerja asing, harus ada ambil pekerja tempatan juga,” katanya.

Semalam, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 meluluskan SOP kemasukan pekerja asing, bagi memenuhi keperluan sektor perladangan seperti yang dibentangkan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga pengerusi jawatankuasa khas itu berkata, SOP berkenaan akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan, dan diluluskan secara ‘case-by-case basis’ oleh Jawatankuasa Pekerja Asing dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, seramai 32,000 pekerja asing yang diperlukan oleh sektor perladangan akan masuk ke negara secara berperingkat.

“Saya akan mulakan dengan sektor perladangan dalam masa terdekat mungkin seawal bulan depan pekerja asing, permintaan daripada sektor perladangan lebih kurang 32,000 tetapi kita cuba bawa serendah yang mungkin,” kata beliau. – MalaysiaGazette