Kredit Gambar FB RTM

IPOH – Jenazah pengarah filem terkenal Allahyarham Mamat Khalid yang meninggal dunia kira-kira 12.30 tengah malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh di sini hari ini.

Allahyarham Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selamat dikebumikan pada 2.25 petang.

Jenazah Allahyarham sebelum itu dibawa ke kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di sini pada 6 pagi tadi dan kemudiannya disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam sebelum dikebumikan.

Kira-kira 300 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di tanah perkuburan berkenaan.

Antara yang hadir menziarahi Allahyarham di kediamannya ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta beberapa rakan artis antaranya Datuk Awie, Zul Ariffin, Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Nasrizal Ngasri dan Zahiril Adzim.

Sementara itu, anak ketiga Allahyarham, Mohd Khalid Amen, 25, berkata bapanya bermain keyboard semasa membuat persembahan lagu Apokalips di kafenya, di Sarang Art Hub di Tanjung Malim sebelum tiba-tiba tidak sedarkan diri kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

“Saya dan beberapa ahli keluarga terus menerpa ke arahnya, sebelum itu dia tidak mengadu sakit.

“Kami menghubungi ambulans dan akhirnya papa menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital. Papa memang ada sakit jantung,” katanya.

Menurut Mohd Khalid Amen, Allahyarham sepatutnya akan memulakan penggambaran telefilem bertajuk ‘Kampung Pisang Berbuah Dua Kali’ minggu depan.

“Papa bercadang untuk memulakan penggambaran hujung bulan ini tetapi tidak sempat,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon Nasrizal Ngasri atau lebih dikenali sebagai Bell Ngasri ketika ditemui pemberita berkata sepatutnya beliau bersama Allahyarham akan memulakan penggambaran telefilem sekuel komedi seram, Kampung Pisang pada penghujung bulan ini.

“Saya betul-betul tidak sangka Allahyarham pergi meninggalkan kami tapi Allah lebih sayangkan beliau,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Khir Rahman pula berkata Allahyarham Mamat merupakan individu yang melonjakkan nama beliau di persada seni tanah air menerusi beberapa filem yang dilakonkannya sebelum ini.

“Arwah Abang Mamat memang dikenali sebagai suka menolong rakan-rakan atau saudara-mara, selagi dia boleh tunaikan hajat, dia akan tunaikan,” katanya.

Pekin Ibrahim yang ditemui pemberita dalam nada sebak berkata beliau menganggap Allahyarham Mamat sebagai ayah kandungnya sendiri.

“Saya biasa berkomunikasi dengan arwah melalui aplikasi WhatsApp berbual mengenai projek filem dan kali terakhir berhubung dengannya minggu lepas,” katanya.

Allahyarham Mamat dilahirkan pada 6 April 1963 dan dibesarkan di Sungai Rokam di sini. Beliau meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak.

Beliau memulakan kerjaya awal di pejabat kerajaan, sebelum menceburi bidang perfileman dengan mengarahkan filem komedi pertama berjudul Lang Buana.

Antara filem sentuhannya termasuklah Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Man Laksa, Kala Malam Bulan Mengambang, Apokalips X dan Hantu Kak Limah Balik Rumah yang turut meraih kutipan pecah panggung.

Selain aktif dalam bidang perfileman, arwah juga pengasas dan pemilik kafe, Sarang Art Hub yang beroperasi di Tanjung Malim.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast