Sidang media Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena Sesi Roadshow Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bersama kerajaan negeri Pahang di Kuantan petang tadi.

KUANTAN – Jika projek lapangan terbang baharu di Gebeng dilaksanakan, ia akan menyediakan penerbangan terus dari luar negara ke Kuantan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jika ia menjadi realiti, lapangan terbang yang lama di sini akan diserahkan semula kepada Tentera Udara Malaysia (TUDM).

Ini kerana Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah yang sedia ada menggunakan pangkalan udara milik TUDM.

Menurutnya, mengenai projek lapangan terbang baharu, kerajaan Persekutuan tiada halangan mengenai cadangan pembinaannya di Kawasan Perindustrian Gebeng seperti dirancang.

“Ini kerana berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara bersetuju supaya projek tersebut dikaji secara lebih lanjut.

“Proses naik taraf atau pembesaran lapangan terbang sekarang tidak dapat dilakukan jika mengambil kira ruang yang terhad dan faktor keselamatan,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika sidang media sempena Sesi Roadshow Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bersama kerajaan negeri Pahang di Hotel Zenith di sini petang tadi.

Menurut beliau, kerajaan serta agensi berkaitan juga tiada halangan terhadap projek itu dan ia boleh diteruskan mengikut perancangan.

Susulan itu, katanya, projek tersebut merupakan perancangan jangka panjang yang akan dibangunkan secara berperingkat mengikut fasa sehingga tahun 2050.

Kata Wan Rosdy lagi, projek pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa itu juga akan membangunkan kawasan perindustrian Gebeng dan pembinaan pusat beli belah serta hotel secara penswastaan. – MalaysiaGazette