Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed selepas sesi libat urus RMK-12 di Kuantan, Pahang petang tadi.

KUANTAN – Pelbagai usaha telah dirancang untuk merancakkan ekonomi Pahang dengan melaksanakan beberapa projek sosioekonomi dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia bertujuan bagi memangkin pertumbuhan ekonomi negeri dan menambah baik kesejahteraan rakyat.

“Di bawah RP1 (Rolling Plan Pertama) 2021, negeri Pahang telah diluluskan peruntukan asal sebanyak RM2.53 bilion melibatkan 400 projek pembangunan,” katanya dalam sidang media di sini petang tadi.

Sebelum itu, beliau menghadiri sesi libat urus pasca RMK-12 melibatkan Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama Kerajaan Negeri Pahang.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut Mustapa lagi, sesi  tersebut diadakan secara hibrid iaitu kombinasi bersemuka dan dalam talian kepada jemputan.

Jelas Mustapa, ia bertujuan untuk membuat hebahan mengenai dasar, strategi dan inisiatif RMK-12 kepada semua pihak berkepentingan pada peringkat negeri.

“RMK-12 dijajarkan dengan konsep ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan serta mengambil kira semangat Keluarga Malaysia.

“Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara, atau whole-of-nation approach yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam melaksanakan pembaharuan,” katanya.- MalaysiaGazette