Home Nasional Pemandu Myvi positif dadah ditahan pandu secara bahaya

Pemandu Myvi positif dadah ditahan pandu secara bahaya

KUALA LUMPUR – Pemandu dua kenderaan yang dikesan  memandu dalam keadaan berbahaya di Jalan Kuching di sini baru-baru ini ditahan polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pada 23 Oktober lalu sekitar pukul 2.43 petang, pihaknya telah mengesan satu video tular mengenai insiden itu.

Katanya video berdurasi 27 saat itu dimuat naik oleh halaman Facebook Kongsi Segala Info memaparkan aksi dua pemandu kenderaan memandu dalam keadaan bahaya seperti di pautan berikut URL: https://www.facebook.com/102908607941062/videos/409696653845068/

“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut telah berlaku pada 22 Oktober lalu pukul 3.30 petang di Jalan Kuching menghala ke pusat bandar raya yang melibatkan dua buah kenderaan motokar jenis Hyundai Elantra dan Perodua Myvi berwarna perak.

“Bertindak di atas aduan, Unit Risikan dan Operasi JSPT Kuala Lumpur pada 23 Oktober lalu telah berjaya mengesan kedua–dua pemandu kenderaan yang terlibat dalam kesalahan tersebut.

“Pada jam lebih kurang pukul 10 malam kedua–duanya telah ditahan selepas hadir memberi keterangan di Balai Polis Trafik, di Jalan Tun H.S.Lee ibu negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sarifudin, kedua–dua pemandu berkenaan adalah lelaki yang berumur 47 dan 33 tahun dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

Justeru katanya, saringan air kecing mendapati pemandu kereta Perodua Myvi berwarna perak itu disahkan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Pemandu Myvi itu kini telah ditahan di IPD Dang Wangi dan akan dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai Polis yang berhampiran.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast