Keadaan persekitaran selepas pencemaran terbaharu Sungai Kim Kim yang airnya bertukar hitam dan berbau busuk pada 28 Julai lepas itu dipercayai berpunca daripada sisa buangan loji rawatan kumbahan (LRK) yang mengalami kerosakan sistem. Namun demikian ketika tinjauan di lokasi kejadian mendapati warna air sungai tersebut beransur pulih berikutan hujan lebat sejak pagi tadi namun bau yang yang tidak menyenangkan masih lagi ada di kawasan sekitar itu.

JOHOR BAHRU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor masih menunggu laporan terperinci daripada Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berhubung dakwaan empat negeri termasuk Johor, dikenal pasti oleh agensi berkenaan sebagai lokasi pembuangan sisa toksik haram.

Pengarahnya Dr Mohd Famey Yusoff berkata siasatan terperinci dan menyeluruh akan dilakukan sebaik laporan itu diterima.

“Setakat ini, saya masih belum menerima apa-apa maklumat daripada MYSA, begitu juga mengenai keberadaan lokasi tapak pelupusan haram itu di negeri ini.

“Saya juga telah merujuk ibu pejabat dan mereka juga memaklumkan sedang menunggu maklumat sama daripada agensi itu. Jadi siasatan akan dijalankan sebaik laporan diterima,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Op Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Skudai Arah Selatan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar hari ini yang menyatakan MYSA telah mengenal pasti empat negeri iaitu Selangor, Johor, Pahang dan Perak mempunyai banyak kawasan yang dijadikan tempat buangan sisa toksik haram.

Menurut laporan tersebut, MYSA memaklumkan penemuan itu adalah berdasarkan cerapan imej menggunakan satelit secara berkala yang dilakukan agensi berkenaan.

Sementara itu, ketika diminta sama ada JAS Johor turut menggunakan kaedah cerapan imej satelit untuk melakukan pemantauan, Mohd Famey berkata pihaknya tidak mempunyai akses imej satelit dan pemantauan adalah dengan menggunakan dron.

“Kita tidak ada akses imej satelit, bagaimanapun kita buat pemantauan menggunakan dron pada setiap masa di kawasan yang berpotensi berlaku pelupusan haram,” katanya. – BERNAMA