Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bercakap kepada media pada Program Ziarah Kasih di Kampung Bukit Beringin, Masjid Tanah, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 OKTOBER 2021.

MASJID TANAH – ‘Saya tidak tahu, kena tanya dia (MIC).’

Itu respon ringkas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika ditanya mengenai MIC Melaka yang mengesahkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Jelas Ab Rauf, keputusan berkaitan pembahagian kerusi di peringkat Barisan Nasional (BN) hanya akan diputuskan dalam mesyuarat yang akan berlangsung esok.

“Segala keputusan untuk pembahagian kerusi peringkat BN akan diputuskan dalam mesyuarat presiden parti, saya dikhabarkan esok.

“Jadi segala keputusan kita maklumkan esok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ziarah Kasih di Kampung Bukit Beringin di sini hari ini.

Ab Rauf bersama Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak sebelum itu meluangkan masa lebih sejam menziarahi empat buah rumah penduduk di Kampung Londang serta Taman Idaman Jaya.

Hadir sama, Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Semalam, media melaporkan MIC Melaka mengesahkan parti itu hanya akan bertanding di kerusi DUN Gadek pada PRN Melaka kali ini.

Pengerusinya, Datuk M.S. Mahadevan berkata, keputusan untuk mempertahan kerusi tradisi MIC itu telah dipersetujui Dewan Tertinggi BN.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai jangkaan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon daripada BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), Ab Rauf berkata, parti masih belum memutuskan mengenai perkara tersebut.

“UMNO masih belum lagi memutuskan sama ada bertanding solo atau bergabung dengan mana-mana parti, kita tunggu keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi pada hari Khamis nanti,” katanya. – MalaysiaGazette