Seramai 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menjadi peserta kontinjen Ujian Kecergasan Taktikal Kebombaan (UKTK) 2021 ke peringkat kebangsaan.

KUANTAN –  Seramai 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menjadi peserta kontinjen Ujian Kecergasan Taktikal Kebombaan (UKTK) 2021 ke peringkat kebangsaan.

Ketua Kontinjen JBPM Pahang, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, kesemua peserta terdiri daripada 26 anggota lelaki dan empat wanita akan menyertai UKTK selama dua hari bermula hari ini.

“Kesemua peserta sudah bersedia untuk bersaing dalam tujuh acara yang dipertandingkan melibatkan dua acara individu dan lima acara berkumpulan.

“Antara cabaran yang akan dihadapi peserta dengan memikul bebanan dan  lebih mencabar dengan memakai seragam lengkap, termasuk topi dan tong oksigen dalam setiap acara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Khairul Ariffin, ujian kecergasan dalam kalangan ahli bomba merupakan rutin namun kali pertama diadakan secara pertandingan bagi menilai gerak kerja dan kecekapan anggota.

“Baru pertama kali diadakan di seluruh Malaysia, kalau dahulu ada pertandingan kawad kecekapan tetapi kini lebih menguji ketahanan daya fizikal.

“Antara acara dipertandingkan bentang hose bomba secara kumpulan dan ujian menara seperti menarik bebanan tong air pada ketinggian tertentu,” katanya.

Khairul Ariffin berkata, para peserta bakal sama ada pasukan dan individu bakal menerima hadiah berupa wang tunai dan sijil penghargaan. – MalaysiaGazette