Employees Provident Fund EPF i-Citra withdrawal RM5,000
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menggunakan kemudahan layan diri i-Invest KWSP, kini boleh membeli sehingga lapan dana unit amanah daripada maksimum lima Institusi Pengurusan Dana (IPD) dalam satu transaksi pembelian.

Sebelum ini, ahli dibenarkan untuk membeli beberapa dana unit amanah daripada satu IPD sahaja dalam satu transaksi pembelian.

Ciri baharu i-Invest ini membolehkan ahli untuk mengakses kemudahan ini dengan lebih baik ketika membuat pilihan pelaburan.

Walaupun ahli boleh membeli dana unit amanah daripada lebih daripada satu IPD, transaksi yang melibatkan beberapa IPD ini hanya boleh dilakukan melalui Institutional Unit Trust Scheme Advisers (IUTA) yang dilantik dan menawarkan dana dari pelbagai IPD.

KWSP berkata, ahli masih diberi pilihan untuk membeli dana daripada setiap IPD individu.

Tambahan lagi, pengguna kemudahan i-Invest kini juga perlu menjalani penilaian kesesuaian pelaburan sebelum melakukan sebarang transaksi.

Penilaian ini akan memprofil tahap toleransi risiko ahli bagi membolehkan mereka membuat pilihan pelaburan yang lebih termaklum.

Kemudahan i-Invest KWSP, yang dilancarkan pada Ogos 2019, merupakan platform digital yang menawarkan pelbagai fungsi, fleksibiliti, dan kemudahan untuk ahli membuat pelaburan dan transaksi serta memantau pelaburan unit amanah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Melalui kemudahan ini, ahli boleh membuat perbandingan antara dana unit amanah yang ditawarkan oleh IPD, melihat senarai gabungan pegangan pelaburan mereka dan maklumat berkaitan kos pelaburan, sejarah prestasi dana serta maklumat statutori yang berkaitan dengan IPD tersebut.

Sebagai kemudahan layan diri yang memperkasakan ahli untuk menguruskan sendiri masa depan kewangan mereka, KWSP memastikan garis panduan tadbir urus berkaitan kemudahan tersebut dipatuhi oleh semua badan yang terlibat. – MalaysiaGazette