Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee pada Majlis Pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Semua jentera parti-parti politik yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diingatkan agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, tidak ada beza antara kempen yang dijalankan dengan aktviti lain selain mematuhi SOP demi kebaikan bersama ketika pandemik Covid-19 masih lagi menular.

Katanya, SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tidak hanya terpakai kepada sesuatu parti sahaja, sebaliknya ia melibatkan semua pihak.

“Sejak dua tahun yang lalu kita sentiasa patuh dengan apa sahaja SOP yang dikeluarkan oleh MKN dan KKM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), di sini, hari ini.

Pelancaran majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara maya.

Hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Dalam pada itu Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, bukan sahaja SOP yang dikeluarkan oleh pihak KKM dan MKN sahaja perlu dipatuhi sebaliknya, malah semua pihak perlu juga mematuhi jika arahan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PRN Melaka perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14.

SPR menetapkan 20 November ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri tersebut.

Seramai 495,196 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 482,550 pengundi biasa, 10,191 anggota tentera dan pasangan, 2,349 anggota polis dan 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara layak untuk mengundi pada PRN Melaka. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast