Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu (kanani) semasa Operasi Mega Penguatkuasaan SOP Covid-19 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau di Setia Tropika, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) tidak menerima sebarang perkembangan terkini berhubung berhubung kematian seorang remaja perempuan yang meninggal dunia beberapa hari selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr. Aman Rabu memberitahu, pihaknya masih menunggu keputusan beberapa ujian melibatkan kematian  seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Noor Hayati Nabila Abdullah pada 8 Oktober lalu.

Setakat ini, menurutnya, kematian  Noor Hayati  sudah dijelaskan apabila mangsa didapati mempunyai ketumbuhan di ovari dan anomali struktur jantung.

“Tiada perkembangan terbaharu, maklumat lain sama seperti saya maklum dalam kenyataan di Facebook JKNJ sebelum ini,” katanya  selepas Operasi Mega Penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau di Setia Tropika di sini hari ini.

Dr. Aman sebelum ini dilaporkan berkata, remaja itu menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer, pada 3 Oktober sebelum ditemui meninggal dunia di ruang tamu rumah oleh ibunya pada 8 Oktober lalu.

Difahamkan sampel tisu dalam badan mangsa telah dihantar ke Pakar Perubatan Forensik Patologi di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk maklumat lanjut.

“Pada 3 Oktober lalu, allahyarhamah telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer. Status kesihatan mangsa pasca vaksin dalam keadaan baik, tidak menghidap demam, selesema, lemah sendi, susah bernafas dan boleh menjalani aktiviti harian seperti biasa,” katanya.

Bagaimanapun katanya, temubual bersama waris mendapati pelajar perempuan itu tidak mempunyai sebarang jenis penyakit dan alahan.

“Pelbagai ujian darah telah dihantar ke makmal dan masih menunggu keputusan. Laporan bedah siasat ini dikategorikan masih belum lengkap kerana keputusan ujikaji masih belum diterima.

“Bagaimanapun, kami mengambil perhatian atas perkara yang telah tular,” ujarnya.

Kematian seorang pelajar itu tular setelah Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Puad Zarkashi memuat naik satu kenyataan ringkas memaklumkan Noor Hayati Nabila meninggal dunia beberapa hari selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Dalam kenyataan itu, Puad turut meminta Kementerian Kesihatan untuk mengeluarkan keputusan post mortem dengan telus dan segera.- MalaysiaGazette