Kapal kargo pukal berdaftar di Marshall Islands ditahan selepas disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur.

KOTA TINGGI – Sebuah kapal kargo pukal berdaftar di Marshall Islands ditahan kerana disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur, pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal kargo itu ditahan pada pukul 11.03 pagi di kedudukan 10 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Johor.

“Kapal yang ditahan menerusi Operasi Jangkar Haram itu dikendalikan seramai 22 orang kru. Kesemua kru terdiri dari warga Ukraine, Rusia, Filipina dan Sri Lanka berumur antara 20 hingga 61 tahun dan mempunyai pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Katanya, kapal serta semua kru ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah. -MalaysiaGazette