Acara maraton Beijing yang diadakan pada tahun 2018. foto Getty Images

BEIJING – China menangguhkan acara maraton Beijing sehingga diberitahu kelak, di tengah-tengah lonjakan kes jangkitan koronavirus.

Penangguhan itu dibuat selepas pegawai kesihatan tertinggi negara ini memberi amaran bahawa wabak baharu Covid-19 akan menular lebih luas.

China telah melaporkan lebih daripada 133 kes di 11 wilayah setakat ini.

Kesemuanya dikaitkan dengan varian Delta.

Lonjakan terbaharu ini dianggap sebagai wabak terbesar di negara ini sejak kes di Nanjing pada bulan Ogos tahun ini.

Ia telah menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan China mengekalkan pendekatan toleransi sifar terhadap virus itu, terutamanya menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Diadakan setiap tahun sejak tahun 1981, maraton Beijing adalah salah satu acara sukan tempatan terbesar di China.

Perlumbaan secara tradisional bermula di Dataran Tiananmen dan berakhir di Celebration Square di Taman Olimpik Beijing.

Kira-kira 30,000 orang dijangka mengambil bahagian dalam maraton, yang dijadualkan berlangsung pada 31 Oktober ini.

Penganjur maraton berkata, ia membatalkan acara itu “untuk mengelakkan risiko wabak merebak (dan) melindungi kesihatan dan keselamatan majoriti pelari, dan penduduk secara berkesan”. – BBC