5,738 new Covid-19 cases have been recorded today and shifted the cumulative Covid-19 tally to 678,764 cases Covid-19 deaths Rt value
Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Negara-negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia sedang menunjukkan tren penurunan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Justeru, negara ini turut menunjukkan tren penurunan kes sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-34 namun Singapura dan Brunei menunjukkan tren peningkatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, kedua-dua negara itu menunjukkan kadar kes bagi setiap satu juta penduduk yang lebih tinggi berbanding Malaysia (180.91 kes) iaitu pada kadar 584.86 kes (Singapura) dan 499.88 kes (Brunei).

“Walaupun Malaysia menunjukkan penurunan kes, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) perlu terus diamalkan bagi mengelak peningkatan kes seperti negara-negara jiran setelah pembukaan sektor pendidikan dan ekonomi yang lain.

“Indikator-Indikator Jangkitan Covid-19 semasa di dalam negara menunjukkan bahawa pada ME ke-42 iaitu daripada 17 Oktober sehingga 23 Oktober 2021, kes baharu menunjukkan penurunan sebanyak 20.7 peratus iaitu daripada 52,321 kes (ME ke-41) kepada 41,508 kes (ME ke-42).

“Justeru, purata kes aktif dalam negara turut menunjukkan penurunan sebanyak 21.0 peratus iaitu daripada 105,497 kes (ME ke-41) kepada kes 83,605 kes (ME ke-42),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham lagi, kes kematian menunjukkan penurunan sebanyak 16.4 peratus iaitu daripada 593 kes (ME ke-41) kepada 496 kes (ME ke-42).

Selain itu, katanya, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi menunjukkan penurunan 16.5 peratus iaitu 684 kes (ME ke-41) kepada 571 kes (ME ke-42);

Kes yang memerlukan bantuan pernafasan menunjukkan penurunan 14.4 peratus iaitu 292 kes (ME ke-41) kepada 250 kes (ME ke-42) sementara Nilai RT kekal stabil pada bacaan sekitar nilai 0.88.-MalaysiaGazette