Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membangunkan inovasi untuk mengurus dan mengawal penyakit Ganoderma yang sering dialami pokok sawit.

Penyakit Ganoderma ialah penyakit reput pangkal batang sawit yang sering dihadapi oleh industri penanaman sawit Malaysia.

Ia menyebabkan kerugian besar jika tidak dirawat pada peringkat awal.

Industri sawit mencatatkan kerugian kira-kira RM1.5 bilion setahun disebabkan oleh penyakit reput pangkal batang.

Dr Shamala Sundram telah membangunkan inovasi untuk mengawal penyakit ini menggunakan bakteria endofitik yang terdapat dalam tisu pokok sawit yang digunakan sebagai agen kawalan biologi mesra alam bagi melawan penyakit itu.

“Bakteria endofitik dijangka mengurangkan dan melambatkan proses permulaan jangkitan penyakit reput pangkal batang.

”Inovasi ini juga telah dirangkumkan sebagai sebahagian daripada pengurusan penyakit Ganoderma bersepadu,” kata Ketua Pengarah MPOB Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Bakteria endofitik mempunyai ciri antagonis tertentu yang secara khusus penting dalam mengawal Ganoderma dan telah disahkan melalui penilaian makmal dan lapangan.

Ciri-ciri itu termasuk kemampuan untuk menghalang pertumbuhan Ganoderma, melarutkan unsur besi dari persekitaran dan menghasilkan antibiotik berkesan terhadap Ganoderma.

Ini dapat dilihat melalui kecacatan patogen melalui pengimbasan mikroskop elektron.

Penyelidikan mengenai inovasi ini dimulakan pada tahun 2016 dan tamat pada tahun ini serta dilancarkan semasa Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2021.

Dr Ahmad Parveez berkata, inovasi ini memberi kelebihan kepada pemilik ladang dan estet kerana kultur bakteria mengkoloni sistem dalaman akar pokok sawit dan juga sistem akar pokok di permukaan tanah.

”Pembiakan bakteria endofitik tidak dipengaruhi oleh parameter persekitaran yang biasanya terjadi pada produk berasaskan mikrob bukan endofitik lain.

”Proses pembiakan koloni dapat dimulakan di peringkat tapak semaian dahulu, oleh itu, dapat mengurangkan penggunaan di peringkat lapangan.

”Ini berbeza dengan produk mikrob bukan-endofitik yang sedia ada di pasaran,” tambahnya.

Inovasi ini telah mendapat sambutan positif dari industri. Kerjasama telah dijalinkan dengan syarikat Korea, CJ Bio Sdn Bhd untuk membangunkan produk mereka yang sedia ada dan diperkaya dengan bakteria endofitik.

MPOB juga telah membangunkan inovasi lain untuk merawat penyakit Ganoderma yang menjadi penyebab reput pangkal batang.

Terdapat lima teknologi, yang telah dipindahkan dan digunakan bersama produk komersial sedia ada.

Salah satu ialah teknologi pengesanan penyakit yang dipasarkan sebagai Ganoderma PCR Amplification Kit.

Sementara empat teknologi lain disasarkan untuk pencegahan penyakit tersebut di ladang iaitu GanoEF, TrueCare, Gano EMBIO dan Trichoshield. – MalaysiaGazette