Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hari ini sebanyak 7,414 lagi kes sembuh Covid-19 telah dilaporkan berbanding 4,782 kes baharu dalam tempoh yang sama.

Ia sekaligus menjadikan kumulatif kes sembuh sejak penularan Covid-19 kini berjumlah 2,334, 783 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

“Daripada jumlah ini, 15 kes merupakan kes import yang terdiri daripada 13 warga tempatan dan dua warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala kes tempatan adalah sebanyak 4,767 kes yang mana 4,575 daripadanya adalah warganegara atau 96.0 peratus sementara 192 lagi bukan warganegara iaitu 4.0 peratus.

Tambah Dr. Noor Hisham, sebanyak 607 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 300 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, daripada 4,782 kes harian yang dilaporkan pada hari ini sebanyak 96 kes (2.0 peratus) daripadanya adalah kategori 3, 4, dan 5.

Sebanyak 4,686 kes atau 98.0 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Menyentuh mengenai bacaan kadar kebolehjangkitan atau Rnaught semasa, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan masing-masing merekodkan Rnaught 1.00 berbanding negeri-negeri lain yang merekodkan bacaan bawah paras 1.00.

Labuan masih sifar Rnaught tetapi Perak, Perlis dan Sarawak mencatatkan bacaan Rnaught 0.81.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Covid-19: Kes baharu bawah 5,000