Deputy Minister of Health, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 15 DECEMBER 2020
Deputy Minister of Health, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 15 DECEMBER 2020 Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. foto AFFAN FAUZI, 15 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Prosedur Operasi Standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diperketatkan kerana kerajaan tidak mahu  jangkitan kes Covid-19 meningkat secara mendadak seperti yang berlaku selepas PRN Sabah, sebelum ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, peningkatan kes mendadak di Sabah itu seterusnya membawa gelombang Covid-19 di seluruh negara.

“SOP PRN Melaka perlu diperketatkan memandangkan pengalaman PRN Sabah bukan sahaja meningkatkan kes di Sabah tetapi juga meningkatkan kes di negeri lain yang mengakibatkan gelombang Covid sangat besar.

“Peningkatan kes berkait rentas negeri melibatkan pengundi penyokong, petugas ketika sebelum, semasa dan selepas PRN,” katanya pada sesi perbahasan usul mengungkaikan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, Melaka masih mencatatkan kes harian yang tinggi, justeru SOP PRN Melaka dilaksanakan untuk mengawal penularan serius kelak.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertikaikan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan SOP untuk PRN Melaka, yang melarang penganjuran kempen menerusi perhimpunan atau majlis sosial termasuk walkabout.

Katanya, SOP berkenaan mencetuskan pertikaian sama ada ia dilaksanakan demi mengawal penularan Covid-19 atau mengurangkan persaingan. – MalaysiaGazette