Anggota bomba membuka pintu rumah warga emas tersebut sebelum menemuinya mati dalam bilik air.

GEORGE TOWN – Kerisauan seorang lelaki terhadap jirannya selepas tidak melihat kelibat warga emas itu terjawab apabila dia ditemui meninggal dunia dalam bilik air rumahnya di Flat Taman Sri Damai, Batu Lanchang, di sini, semalam.

Mayat lelaki berusia 75 tahun itu ditemui anggota bomba dalam rumah berkunci selepas mendapat panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 9.42 pagi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Fairol Mahazi Malik berkata, tujuh anggota dikerah ke lokasi bagi bantuan khidmat khas berkenaan dengan kerjasama polis.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati pintu hadapan rumah berkenaan dalam keadaan berkunci.

“Anggota menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu rumah berkenaan sebelum kes diserah kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Operasi tamat pada jam 10.59 pagi dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Tiada unsur jenayah dalam kes tersebut dan mangsa dipercayai mengidap pelbagai jenis penyakit,” kata beliau. – MalaysiaGazette