Ahli Parlimen Semporna , Datuk Seri Shafie Apdal bercakao pada sidang media khas Dewan Perniagaan Melayu Malaysia bagi membincangkan isu Ekonomi Bumiputera Sabah dan Semenanjung Malaysia di di Anjung Melayu Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Warisan Sabah (Warisan) mendakwa  menerima permohonan beberapa ahli Parlimen untuk menyertai parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pada fasa terakhir parti itu akan dilancarkan di Semenanjung, ada dalam kalangan wakil rakyat menghubunginya untuk bersama-sama Warisan.

“Saya ada bertemu beberapa pemimpin, ramai tahu ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Lain-lain itu adalah tapi saya tak mahu sebut,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, perkara itu sedang diperhalusi lagi kerana tidak mahu nama Warisan akan dipermain-mainkan.

“Kita tidak mahu mereka masuk Warisan, lepas tu menang dan tinggalkan parti. Kita tak janji apa-apa kepada mereka, walaupun ada yang mahukan jawatan itu,” katanya.

Jelasnya, apa yang penting, Warisan yang berpusat di Sabah akan mendapat tempat di Semenanjung jika keahlian dibuka nanti.

Warisan ditubuhkan Shafie Apdal pada tahun 2016 dengan objektif asal adalah untuk menjaga kepentingan rakyat Sabah. -MalaysiaGazette