Peniaga, Jamaluddin Amran menyediakan juadah untuk dijual ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette sempena Belanjawan 2021 di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam. foto AFIQ HAMBALI, 03 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Bajet 2022 dijangka memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dengan pelbagai insentif akan diperkenalkan, demikian menurut Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor.

Beliau berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) baharu sahaja dibentangkan dan ia adalah langkah permulaan kepada perkara itu adalah menerusi pembentangan Bajet 2022.

“Saya jangkakan bajet akan menjadi lebih baik bukan sahaja RMKe-12 tetapi juga ini merupakan bajet pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sudah pasti, dengan konsep Keluarga Malaysia, ia akan merangkumi kesemua pihak. Saya ambil contoh, Sabah dan Sarawak sudah pasti akan mendapat lebih daripada sebelum ini.

“Dulu, Sabah dan Sarawak hanya menerima angkaran 22 peratus daripada keseluruhan bajet dan boleh saya katakan tahun hadapan dua negeri ini akan menerima lebih 30 peratus,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Sabah dan Sarawak menjadi seiring dengan semenanjung terutamanya daripada sudut jaringan internet.

“Dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sebelum ini, boleh dikatakan banyak Kawasan tidak menerima liputan yang baik.

“Jadinya, dalam Bajet 2022 nanti, ia mungkin dijadikan pelaburan paling besar oleh kerajaan,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau menambah, dengan suasana Malaysia yang bertukar kepada endermik bajet akan tertumpu kepada sector ekonomi.

“Banyak syarikat yang mula ingin bertapak semula dengan norma baharu, jadi kerajaan mungkin akan memperkenalkan insentif yang berupa pinjaman kepada usahawan untuk memulakan perniagaan.

“Ini akan membantu pusingan ekonomi di negara kita. Dengan adanya perkara sebegini, sudah pasti ia akan merancakkan perniagaan,” ujarnya.

Shazali juga tidak hanya peniaga manfaat, malah insentif kepada rakyat juga akan turut diperkasakan.

“Saya juga jangkakan semua pihak akan menerima berita baik. Semua golongan akan mendapat manfaat.

“Golongan B40, M40 termasuk T20 juga akan menerima insentif bersesuaian. Cuma saya tidak pasti apakah akan diperkenalkan nama baharu atau diteruskan insentif sedia ada dan ditambah baik sahaja,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, Bajet 2022 adalah masa terbaik untuk memperkasakan industri kemahiran yang semakin mendapat tempat.

“Apabila kita cakap mengenai kemahiran itu banyak cabangnya, sudah pasti pihak kerajaan akan mendang serius terhadap perkara ini seterusnya memberi perhatian.

“Saya jangka akan ada peruntukan khas untuk ini kerana kemahiran di Malaysia sudah mencapai tahap membanggakan,” katanya lagi.

Sementara itu, Shazali berkata, sebanyak mana bajet diberikan, cara saluran peruntukan itu perlukan perubahan.

“Sebagai contoh, untuk buat satu jalan raya, jika peruntukan beli simen RM1, pastikan ia benar-benar RM1 untuk simen bukan harga asal simen RM0.60 tetapi orang sana dapat, orang sini dapat.

“Ini duit rakyat. Kerajaan perlu pastikan ia digunakan sebaik-baiknya dan disalurkan kepada pihak yang betul,” katanya.

Jelasnya lagi, Ismail Sabri boleh menjadikan bajet kali ini sebagai bajet paling bersih daripada sebarang unsur rasuah.

“Beliau boleh meletakkan perkara rasuah sebagai benteng pentadbiran sebagai perdana menteri.

“Jangan ikut cara lama lagi. Ada banyak syarikat yang boleh buat kerja, elakkan kronisme dan perlu telus dalam pengagihan,” katanya.

Bajet 2022 akan dibentang oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini. -MalaysiaGazette