Halimah Mohamed Sadique

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) menjadi satu-satunya platform yang diwujudkan untuk merapatkan jurang antara badan-badan agama  Islam dan bukan Islam serta berkongsi pandangan yang memberi  manfaat kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique berkata, seramai 24 orang pemimpin badan-badan agama atau wakil pertubuhan yang dikenalpasti dan disenarai pendek oleh  kementeriannya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Jelas beliau, komposisi Ahli Jawatankuasa HARMONI melibatkan agama Islam adalah 10 orang, Kristian dan Buddha (empat), Hindu dan Tao (dua) serta Sikh dab Baha’i masing-masing satu.

“Fungsi Jawatankuasa HARMONI adalah membentuk platform pemimpin badan agama, atau persatuan agama serta lain-lain pihak berkaitan dan memantapkan iklim perhubungan yang baik dalam kalangan pemimpin serta penganut pelbagai agama berteraskan semangat saling hormat menghormati dan bekerjasama di semua peringkat;

“Selain itu, ia menggalakkan semua penganut agama memahami dan menghormati Perlembagaan Persekutuan dan meningkatkan penghayatan rakyat kepada nilai-nilai agama selaras dengan Prinsip Rukun Negara dan meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, budaya dan adat resam agar menjadi sumber kekuatan negara dan masyarakat,” katanya pada sesi Pemberitahuan Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Noor Amin Ahmad (Kangar-PH) yang bertanya mengenai jumlah pertemuan dengan pemimpin agama selain Islam di setiap negeri dibuat mengikut tahun dan apakah perkara yang dibincangkan selain institusi khusus mengawal selia keperluan hal ehwal agama bukan Islam.

Halimah menambah, HARMONI juga bertujuan membantu menyelesaikan konflik atau salah faham berkaitan isu agama melalui kaedah intervensi dan mediasi.

“Di peringkat negeri pula, terdapat 14 negeri yang mempunyai jawatankuasa bagi menguruskan hal ehwal agama selain Islam.

“Jawatankuasa peringkat negeri ini dipengerusikan oleh EXCO yang memegang portfolio perpaduan kaum di negeri masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette