Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin (dua kanan) menunjukkan rampasan produk yang disimpan dan dijual tanpa kelulusan di stor KPDNHEP, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 26 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur hari ini menyita 2,797 unit mesin penapis air pelbagai model termasuk periuk tekanan tinggi bernilai RM7.5 juta daripada sebuah syarikat jualan langsung.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, tindakan rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan lesen jualan langsung oleh sepasukan pegawai penguatkuasa KPDNHEP KL di gudang syarikat itu yang terletak di sebuah taman perindustrian di Subang Jaya, Selangor.

Hasil pemeriksaan mendapati, syarikat terbabit telah menyimpan dan memasarkan model terbaharu penapis air dan periuk tekanan tinggi tanpa mendapat kelulusan pihak kementerian terlebih dahulu, ujarnya.

“Semua produk yang dirampas itu, kami dapati ia tidak disenaraikan dalam senarai barangan yang diluluskan dan dibenarkan untuk dijual mengikut syarat yang ditetapkan dalam lesen jualan langsung syarikat terbabit.

“Semakan juga mendapati lesen syarikat ini masih sah hingga 20 Disember 2023 dan terdapat 21 model produk syarikat itu yang dibenarkan dijual dalam pasaran, namun barangan yang dirampas ini masih belum mendapat kelulusan KPDNHEP,” katanya pada sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP KL di Kompleks Setral, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Nurul Syarina Md Anuar dan Penolong Pegawai Penguatkuasa, Md Joha Bahran.

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin bercakap pada sidang media mengenai rampasan produk yang disimpan dan dijual tanpa kelulusan di stor KPDNHEP, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 26 OKTOBER 2021.

Tambah Ariffin, pemeriksaan juga mendapati syarikat terbabit menambah enam model produk penapis air serta satu model produk periuk tekanan tinggi dalam senarai jualan tanpa mendapat kebenaran kementerian itu dan ia adalah satu kesalahan.

“Sehubungan itu, kami akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 6(4) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 iaitu pemegang lesen tidak mematuhi mana-mana syarat lesen yang dikenakan pengawal.

“Mengikut seksyen itu, pihak yang melanggar syarat telah melakukan satu kesalahan dan boleh disabitkan mengikut Seksyen 39(2) Penalti Am yang mana boleh dikenakan denda tidak lebih RM250,000 dan sekiranya kesalahan berulang, boleh dikenakan denda maksimum RM500,000,” katanya.

Menurut Ariffin, syarikat terbabit telah berdaftar di bawah Lesen Jualan Langsung dan ia tertakluk dengan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

“Justeru, syarikat ini perlu menjaga kepentingan pelanggan dan untuk itu, setiap barang atau produk yang hendak dijual secara langsung seharusnya perlu mendapatkan kelulusan Pengawal Jualan Langsung iaitu Ketua Setiausaha KPDNHEP.

“Dengan itu, setiap barangan yang tiada dalam senarai barangan yang diluluskan itu, adalah tidak dibenarkan dijual sewenang-wenangnya dan kita tidak mahu berlaku salah guna (lesen),” ujarnya. – MalaysiaGazette