KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menganjurkan Program e-Showcase Koperasi dan Usahawan Wanita atau eBizNITA selama tujuh mulai 25 hingga 31 Oktober 2021 secara dalam talian.
eBizNITA merupakan program yang julung kali diadakan oleh MEDAC bagi membantu golongan usahawan dan juga koperasi wanita dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 yang memberi kesan ke atas kaedah jualan secara tradisional.
Pelaksanaan program ini dibuat dengan kerjasama semua agensi di bawah MEDAC termasuk Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Program ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik antaranya jualan dalam talian, e-pameran produk dan perkhidmatan menerusi platform my assist, padan niaga melalui platform match me dan pembiayaan, webinar, forum serta taklimat pernigaan.
Menariknya, pengunjung yang membeli barangan secara dalam talian daripada eBizNITA akan ditawarkan perkhidmatan Warongku untuk memberi kemudahan kepada pengguna yang mana barangan yang dibeli akan dihantar ke pintu rumah.
Ini merupakan satu kemudahan yang disediakan oleh penganjur kepada pembeli dalam menyesuaikan diri dengan keadaan semasa berikutan pandemik Covid-19.
Antara yang terlibat dengan eBizNITA adalah koperasi dan usahawan wanita, penjaja dan peniaga kecil wanita, pemimpin komuniti dan masyarakat.
MEDAC mensasarkan seramai 10,000 pengunjung akan hadir secara dalam talian dengan jualan sebanyak RM250,000 sepanjang tempoh program berlangsung.
Selain itu, sesi padan niaga atau match me dijangka membuka peluang perniagaan yang lebih besar kepada koperasi dan usahawan wanita dan
dianggar akan menarik potensi pelaburan sebanyak RM1 juta melalui sesi tersebut.
MEDAC berharap dengan penganjuran eBizNITA ia dapat membantu dan memperkasa peranan koperasi dan usahawan wanita dalam mempertingkatkan ekosistem perniagaan.
Penganjuran program ini juga merupakan satu bentuk pengiktirafan Kerajaan kepada golongan usahawan koperasi wanita yang merupakan tonggak kepada kestabilan sosial serta ekonomi negara sebagai penggerak utama Keluarga Usahawan di Malaysia. – MalaysiaGazette