Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kini berdepan dengan saman ganti rugi hampir RM2 juta oleh Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri bertindak menyaman Tommy dan juga kerajaan Malaysia kerana menuduh beliau di mahkamah malah didakwa bersikap prejudis sebelum dirinya didakwa di mahkamah.

Saman itu telah difailkan pada 22 Oktober lalu dan pengurusan kes itu akan diuruskan secara talian pada 19 November ini di hadapan Timbalan Pendaftar, Nurliana Ismail.

Dalam tuntutan saman itu, Tommy didakwa tidak menjalankan tanggungjawabnya secara betul dan cuai selaku Peguam Negara ketika dakwaan ke atas Najib.

Tommy juga didakwa telah campur tangan dalam siasatan dan tidak mengkaji kesnya dengan objektif selain menyalahgunakan kuasa untuk cuba memenjarakan Najib.

Kata Najib, tindakan Tommy juga tidak adil, tidak mengikut lunas undang-undang serta tidak mengikut Perlembagaan seperti yang termaktub.

Najib Razak

Dakwa Najib, sebanyak 35 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya; kecuali pertuduhan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. merupakan sesuatu yang telah lama dirancang oleh Tommy.

Ini sekaligus menyebabkan reputasi Ahli Pekan itu terjejas teruk, hilang kebebasan semasa disiasat pihak berkuasa dan turut mengalami kesakitan, penderitaan serta trauma.

Oleh yang demikian Najib menuntut ganti rugi am teladan dan tambahan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah.

Tuntutan yang dikenakan ialah sebanyak RM1,941,988 iaitu kos-kos yang terpaksa ditanggung akibat pendakwaan tersebut seperti bayaran rundingan pasukan audit untuk melakukan semakan dokumentasi.

Juga kos yang terpaksa dibazirkan kerana tidak dapat ke luar negara akibat syarat jaminan yang dikenakan terhadapnya. -MalaysiaGazette