KUALA LUMPUR – CEKD Bhd (CEKD)  mencatat peningkatan perolehan setahun penuh sebanyak 7.1 peratus kepada RM28.23 juta bagi suku keempat berakhir 31 Ogos lalu.

Penyedia rumusan acuan pemotong berkata, penurunan perolehan sebanyak 16.2 peratus jika dibandingkan dengan perolehan RM6.88 juta bagi tempoh suku sama pada tahun 2020 disebabkan oleh tempahan yang rendah daripada pelanggan yang terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat dari Jun hingga Ogos 2021.

Pengarah Urusan CEKD, Yap Kai Ning berkata, daripada segi keuntungan sebelum cukai (PBT), CEKD mencatat pertambahan sebanyak 7.4 peratus kepada RM8.54 juta di sebalik mencatat PBT lebih rendah sebanyak RM1.47 juta atau menurun 28.7 peratus bagi suku keempat 2021 berbanding PBT sebanyak RM2.06 juta yang dicatat pada suku pertama 2020.

“CEKD mencatat pertambahan 4.3 peratus bagi tahun sepenuhnya keuntungan selepas cukai (PAT) walaupun mencatat penurunan 30.4 peratus kepada RM1.09 juta berbanding suku yang sama tahun lalu yang mencatat PAT sebanyak RM1.57 juta,” katanya.

Syarikat  yang disenaraikan pada 29 September 2021 di Papan ACE Bursa Malaysia,
yakin mampu mencatat prestasi kewangan yang lebih baik bagi setahun penuh dipacu oleh tempahan bagi acuan pemotong baharu dan lebih kompleks daripada pelanggan mereka.

Yap Kai Ning

Beliau menjelaskan, bagi suku tahunan yang dikaji, CEKD menerima tempahan yang kecil disebabkan ramai pelanggan dari industri seperti elektrik dan elektronik serta automotif, tekstil dan kulit yang tidak menerima kelulusan MITI untuk beroperasi.

“Lagi pun, pelanggan yang mendapat kebenaran MITI hanya dibenarkan beroperasi pada 60% kapasiti sahaja.” tambahnya.

Mengulas lanjut katanya, dengan kebenaran merentas negeri, pihaknya berhasrat untuk menyertai pameran perdagangan bagi meningkatkan profil CEKD di pasaran domestik dan antarabangsa serta mengadakan sesi demonstrasi produk bagi pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan untuk tujuan pembangunan perniagaan dan pemasaran. – MalaysiaGazette