Gambar Mohammed bin Salman (kiri) bersama Mohammed bin Nayef (kanan) pada tahun 2017. foto ANADOLU AGENCY

OTTAWA – Putera Mahkota Arab Saudi didakwa menggunakan “cincin racun” untuk membunuh Allahyarham Raja Abdullah, dedah bekas pegawai perisikan tertinggi Arab Saudi.

Dalam temu bual dengan CBS, Saad al-Jabri mendakwa Mohammed bin Salman memberitahu sepupunya pada tahun 2014 bahawa beliau mahu melakukan perkara itu bagi memberi laluan kepada ayahnya.

Ia susulan terdapat ketegangan dalam keluarga pemerintah pada masa itu berhubung penggantian pemerintah.

Kerajaan Arab Saudi menggelar Jabri sebagai bekas pegawai yang hina dalam sejarah mereka-reka cerita.

Dalam wawancaranya dengan program 60 Minutes CBS, Jabri memberi amaran bahawa Putera Mahkota – pemerintah de facto Arab Saudi dan anak Raja Salman – adalah “psikopat, pembunuh, di Timur Tengah dengan sumber tidak terkira banyaknya, yang menimbulkan ancaman kepada rakyatnya, kepada Amerika Syarikat dan kepada planet ini”.

Dia mendakwa pada pertemuan 2014, putera itu mencadangkan kepada sepupunya, Putera Mohammed bin Nayef, Menteri Dalam Negeri Arab Saudi ketika itu, bahawa dia boleh mengaturkan pembunuhan Raja Abdullah.

”Dia memberitahunya: ‘Saya mahu membunuh Raja Abdullah. Saya mendapat cincin beracun dari Rusia. Cukup bagi saya hanya berjabat tangan dengannya dan dia akan selesai.

“Sama ada dia hanya bercakap besar… dia berkata begitu dan kami mengambilnya dengan serius,” dakwa Jabri.

Beliau berkata, perkara itu diselesaikan secara persendirian di dalam mahkamah diraja.

Tetapi dia menambah, pertemuan itu dirakam secara rahsia dan dia tahu di mana dua salinan rakaman video itu berada.

Abdullah meninggal dunia pada usia 90 tahun pada 2015 dan digantikan oleh abang tirinya Raja Salman, bapa Mohammed bin Salman, yang menamakan Mohammed bin Nayef sebagai Putera Mahkota.

Namun pada tahun 2017, kedudukan Mohammed bin Nayef sebagai pewaris takhta digantikan oleh Mohammed bin Salman.

Dia juga kehilangan peranannya sebagai menteri dalam negeri dan dilaporkan diletakkan di bawah tahanan rumah sebelum ditahan tahun lalu atas tuduhan yang tidak dinyatakan.

Jabri melarikan diri ke Kanada selepas Mohammed bin Nayef digulingkan.

Dalam temu bual itu, Jabri mendakwa dia telah diberi amaran oleh rakan dalam perkhidmatan perisikan Timur Tengah bahawa Mohammed bin Salman menghantar pasukan penyerang untuk membunuhnya pada Oktober 2018, beberapa hari selepas ejen Arab Saudi membunuh wartawan Jamal Khashoggi di Turki.

Dia mendakwa enam orang pasukan perisik mendarat di lapangan terbang di Ottawa tetapi telah dihantar pulang selepas pihak kastam mendapati mereka membawa “peralatan yang mencurigakan semasa analisis DNA”.

Tahun lalu, Jabri menuduh putera mahkota atas cubaan membunuh dalam saman sivil yang difailkan di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

Putera raja menolak dakwaan itu.

Malah, Mohammed bin Salman juga menafikan sebarang penglibatan dalam pembunuhan Jamal Khashoggi, walaupun agensi perisikan AS mengesahkan beliau membenarkan operasi pembunuhan itu.

Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada CBS, Kedutaan Arab Saudi di Washington melabelkan Jabri sebagai “bekas pegawai kerajaan yang dihina dengan sejarah kerana mengada-adakan dan mencipta gangguan untuk menyembunyikan jenayah kewangan yang dia lakukan berjumlah berbilion dolar, untuk kemewahan, gaya hidup untuk dirinya dan keluarganya”.

Jabri sedang disaman kerana rasuah oleh pelbagai entiti Arab Saudi dan seorang hakim Kanada telah membekukan asetnya dengan mengatakan terdapat “bukti penipuan yang banyak”.

Namun Jabri menafikan mencuri apa-apa wang kerajaan, sebaliknya mengatakan bekas majikannya memberi ganjaran kepadanya.

Pada Mac 2020, pihak berkuasa Arab Saudi menahan anak lelaki Jabri, Omar dan anak perempuan Sarah.

Pada November lalu, dua bulan selepas bapa mereka menyaman Putera Mahkota, adik-beradik itu masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan dan enam setengah tahun oleh mahkamah Arab Saudi selepas disabitkan kesalahan pengubahan wang haram dan “cuba melarikan diri” dari negara itu.

Kedua-dua mereka menafikan tuduhan itu.

Mahkamah rayuan mengekalkan hukuman mereka dalam perbicaraan sulit di mana mereka tidak dibenarkan hadir. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast