MACC Malaysian Anti-Corruption Commission 1MDB funds recovery assets
Seorang wanita akan direman sprm esok kerana disyaki menerima habuan bulanan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 pengarah syarikat malam semalam kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan geran peruntukan yang dikeluarkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Mereka yang berusia antara 24 hingga 68 tahun itu ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang.

Menurut sumber, dianggarkan puluhan juta ringgit dilesapkan kumpulan ini, yang pada asalnya memohon geran peruntukan Mitra, agensi di bawah Kementerian Perpaduan negara, bagi melaksanakan program-program sosio-ekonomi masyarakat India.

“Siasatan kes ini akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang telah disalurkan oleh Mitra bermula tahun 2018 hingga kini.

“Kita menganggarkan hampir 60 peratus daripada peruntukan geran yang diterima oleh syarikat, orang perseorangan dan yayasan bagi tujuan perlaksanaan program pembangunan sosio-ekonomi tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang sepatutnya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, peruntukan itu dipohon daripada Mitra dan kemudiannya diselewengkan untuk kepentingan individu tertentu.

Menurutnya, tiada program dibuat dan tiada pernyataan perbelanjaan dapat dikemukakan kepada pihak berkuasa.

MITRA telah distruktur semula pada tahun 2018 ketika pentadbiran Kerajaan PH dan diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri.

Mitra dianggar memperolehi bajet berjumlah RM100 juta setahun.

Kesemua 16 yang ditahan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Siasatan dibuat dibawah Seksyen 16 (a) dan seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette