Pihak berkuasa dan orang ramai berada di kawasan serangan yang menyebabkan 11 orang terbunuh. - foto Ground News

BAGHDAD – Sekumpulan lelaki Daesh bersenjata menyerang sebuah kampung di timur laut Baghdad pada hari Selasa dan membunuh sekurang-kurangnya 11 orang awam dan mencederakan enam yang lain, kata pegawai keselamatan Iraq.

Pegawai berkata, serangan itu berlaku di kampung yang didominasi pengikut Syiah di al-Rashad timur laut Baqouba di wilayah Diyala.

Kumpulan itu didakwa menculik dua penduduk kampung sebelum ini dan kemudian menyerbu kampung itu apabila tuntutan mereka untuk wang tebusan tidak dipenuhi.

Mereka berkata, semua yang maut dan cedera adalah orang awam.

Serangan yang mensasarkan orang awam jarang berlaku di Iraq sejak kumpulan Daesh sebahagian besarnya dikalahkan di negara itu pada 2017.

Namun, serangan bom di tepi jalan pinggir bandar Baghdad pada bulan Julai lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain di pasar yang sesak.

Sebelum itu, pada bulan Januari, pengebom berani mati memusnahkan pasar yang sibuk di ibu kota Iraq, membunuh sekurang-kurangnya 32 orang dan mencederakan berpuluh-puluh orang. – AP