Datuk Bahurdin Abdul Kader.

GEORGE TOWN – Seramai 1,036 individu dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-72 Tuan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Mengikut pecahan, 148 penerima tersebut melibatkan seorang penerima untuk Darjah Utama Pangkuan Negeri, dua untuk Darjah Panglima Pangkuan Negeri, Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (15), Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (14) antaranya Datuk Bahurdin Abdul Kader yang membawa gelaran Datuk.

Pengarah Urusan Seleksi Sensasi Sdn. Bhd., Bahurdin, 54, merupakan kontraktor yang berjaya menyiapkan Projek Menaik Taraf Laluan Persekutuan FT001 Dari Persimpangan Permatang Keling ke Jambatan  Sungai Junjung, Simpang Empat baru-baru ini.

Projek yang dirasmikan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 28 September lalu itu disiapkan lebih awal daripada tarikh jangkaan awal selain memberi penjimatan kepada kerajaan lebih RM7 juta berbanding kos asal RM116.6 juta.

Bahurdin (dua kanan) bersama Fadillah (dua dari kiri) ketika penyerahan projek Menaik Taraf Laluan Persekutuan FT001 di Simpang Ampat baru-baru ini.

Penyiapan projek itu juga dapat menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas khususnya ketika waktu puncak serta banjir kilat apabila sistem perparitan turut dinaik taraf.

Berkecimpung dalam sektor pembinaan hampir 30 tahun, anak kelahiran Pulau Pinang itu turut aktif dalam menyampaikan sumbangan kepada golongan fakir miskin menerusi Yayasan Kolsum Bivi sejak tahun 2015.

Pada 15 Oktober lalu, isteri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Khadijah Mohd Nor menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri pada Istiadat Penganugerahan Khas di Hotel E&O di sini.

Toh Puan Khadijah mendahului 1,036 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan pada tahun ini yang disampaikan oleh Tun Ahmad Fuzi. – MalaysiaGazette