Anwar Ibrahim RMK12 Twelfth Malaysia Plan
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR –  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan membawa usul berhubung penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan dengan harga hampir RM10 bilion.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memberi persetujuan itu selepas meneliti usul berkenaan.

Beliau berkata, selepas meneliti usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu, ia di bawah perkara tertentu, kepentingan orang ramai serta perlu disegerakan.

“Saya membenarkan usul ini untuk dirunding pada hari ini di kamar khas pada jam 2.30 petang,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau sebelum ini memohon usul laporan Petronas menjual aset gas di Azerbaijan dengan harga hampir RM10 bilion dibahaskan di Dewan Rakyat.

Ia berikutan desakan menaikkan bayaran dividen Petronas sebanyak RM25 bilion kepada kerajaan bagi tahun ini.

Menurut Anwar, penjualan aset di Azerbaijan dan pembayaran dividen kepada kerajaan menjejaskan masa depan Petronas.

Petronas dilapor menjual keseluruhan 15.5 peratus kepentingannya dalam projek gas asli Shah Deniz di sektor Azerbaijan di Laut Kaspia kepada syarikat minyak dan gas Rusia LUKOIL dengan harga RM9.41 bilion (AS$ 2.25 bilion).

LUKOIL dalam satu kenyataan berkata, penyelesaian transaksi itu bergantung pada penentuan syarat-syarat sebelumnya, termasuk persetujuan oleh SOCAR, syarikat minyak negara Azerbaijan.

Menurut laporan The Edge Markets, ekuiti LUKOIL dalam projek itu akan meningkat daripada 10 peratus kepada 25.5 peratus setelah selesai penjualan. – MalaysiaGazette