Tertuduh Tay Choon Siew ( kanan) hadapi 23 pertuduhan rasuah mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen di sini.
JOHOR BAHRU – Bekas ejen pengurusan pangsapuri mengaku tidak bersalah atas 23 pertuduhan di mahkamah sesyen di sini atas dakwaan menerima rasuah sebanyak RM9,600  dari sebuah syarikat kontraktor.
Tertuduh Tay Choon Siew, 68, didakwa menerima wang daripada seorang kontraktok bagi kerja-kerja pembersihan dan landskap di Badan Pengurusan Bersama Vista Bayu Puteri 2, Blok A dan B di antara Mei 2017 sehingga 3 September 2019.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan dengan wang berjumlah RM400 sebanyak 25 kali transaksi dan sekali transaksi berjumlah RM800 dalam akaun miliknya.
Tertuduh diwakili peguam Datin S.Freda Sabapathy.
Pegawai Pendakwa  (SPRM) Nur Mahirah Mohd Fauzi berkata, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan termasuk syarat tambahan.
Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport  kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai, selain melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (1) akta yang sama, di mana penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menetapkan RM5,000 bagi semua pertuduhan selain tertuduh diminta menyerahkan pasport sehingga perbicaraan selesai.

Kes sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 29 November depan.-MalaysiaGazette