Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) diiringi Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri), Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga kanan) dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (dua kanan) bergambar pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan MCA dan MIC akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

Ahmad Zahid berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengadakan mesyuarat bersama presiden-presiden parti komponen itu semalam.

“Sebagai pengerusi BN saya menghargai komitmen mereka bahawa selain daripada UMNO ada tempat untuk calon daripada MCA, ada tempat untuk calon MIC.

“Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) walaupun tidak meletakkan calon tetapi mereka akan memastikan rakyat Sabah yang tinggal di Melaka akan terus mengundi BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) malam ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak; Presiden MIC, Tan Sri S.A.Vigneswaran; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Selain itu, antara yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua Menteri Melaka sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut menyifatkan PRN Melaka bukan sembarangan pilihan raya kerana ia merupakan cerminan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Seperti yang disebut oleh Tok Mat (Mohamad Hasan) tadi, PRN Melaka adalah cerminan kepada PRU ke-15 tetapi saya lihat lebih daripada itu kerana daripada 28 kerusi yang akan dipertandingkan, saya lihat satu cabaran luar biasa.

“Kita juga tahu ada pihak yang ingin mengelak pertandingan tiga penjuru, ada pihak yang mahu lihat UMNO akan berprestasi lebih buruk dari PRU-14 yang lalu,” ujarnya.

Jelas Ahmad Zahid, berdasarkan kaji selidik yang telah dijalankan, responden menyebut bahawa berlakunya penyesalan apabila mereka menolak calon-calon BN pada PRU ke-14.

“Terdapat hampir 500,000 pengundi di Melaka dengan 61 peratus pengundi Melayu, 30 peratus kaum Cina, 8.3 peratus pengundi India dan 1.9 peratus lain-lain kaum.

“Jadi di dalam PRN Melaka kali ini, mereka menyatakan bahawa penyesalan itu akan ditebus dengan memilih calon-calon daripada BN,” katanya.

Ahmad Zahid juga optimis hanya BN sahaja yang mampu mewujudkan kerajaan negeri yang stabil. – MalaysiaGazette