Muhammad Sanusi Md Nor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 FEBRUARI 2021.

ALOR SETAR – Pas berharap untuk bertanding di lima kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah itu adalah munasabah namun ia belum dimuktamad dan bergantung kepada hasil rundingan Perikatan Nasional (PN).

“Saya tidak dimaklumkan lagi berapa (kerusi) Pas nak bertanding tetapi saya baca kenyataan Datuk Seri (Tuan Ibrahim Tuan) Timbalan Presiden kata Pas mungkin bertanding lima kerusi tetapi itu bergantung kepada hasil rundingan… saya ingat perkara ini akan dimuktamadkan sedikit masa lagi sebelum penamaan calon pada 8 November, sebelum itu (kita harap) ada hasil daripada rundingan itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN negeri itu pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli DUN bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – Bernama