BESTARI JAYA – Lebih 400 peneroka Ladang Tanjong Pasir Mukim Bestari Jaya meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari campur tangan untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah.

Mereka yang menduduki tanah rizab kerajaan negeri Selangor yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang itu sejak tahun 1967.

Mereka mendakwa terkejut selepas mendapat tahu tanah yang telah diusahakan lebih tiga generasi itu akhirnya dipajakkan kepada ‘orang luar’ selama 21 tahun oleh kerajaan negeri pada awal 2020.

Lebih membinggungkan penduduk sejak seminggu lepas ketika ‘rundingan’ sedang dijalankan antara pihak berkuasa dengan para peneroka dengan kehadiran ahli politik di lokasi, kerja-kerja untuk projek pertanian dan penternakan dimulakan oleh sebuah syarikat.

Penduduk terbabit khuatir hasil pertanian yang telah diusahakan mereka akan musnah jika syarikat itu memulakan kerja-kerja projek tersebut.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar pernah mempersoalkan bagaimana dua buah syarikat diberikan pajakan tanah selama 21 tahun.

Seorang peneroka, Musa Ahmad berkata, beliau dan para penduduk yang merupakan anak jati Selangor kecewa dengan apa yang berlaku.

“Jadi mana silapnya? Kita sudah hantar pelbagai memorandum. Mengapa beri kepada orang luar walhal kami minta dari awal lagi? Mengapa tidak cuba berunding dengan kami?

“Kami teroka kawasan yang akhirnya menjadi periuk nasi kami, ladang tanaman sawit inilah yang menjadi kehidupan kami lebih tiga generasi, kini anda beri kepada orang luar sekali gus menghancurkan kepercayaan kami.

“Adakah kerajaan negeri bawah teraju Menteri Besar Selangor kini lebih mementingkan syarikat itu daripada mendengar  rintihan kami bukan sahaja anak watan tetapi juga pengundi kepada janji serta manifesto parti politik yang memerintah,” katanya.

Sementara itu, menurut Jayakumar Vayyapuri, beberapa pihak telah hadir berunding selepas mendapat tahu pihaknya akan menghantar memorandum dan cuba mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar di pejabatnya pada Jumaat ini.

Tambah beliau, pihaknya akan menghantar aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat bagaimana kedua-dua syarikat swasta itu diberikan pajakan. – MalaysiaGazette

MB, mengapa pajak tanah Selangor kepada orang Sarawak?

Noh persoal syarikat dua bulan diberi pajakan tanah 21 tahun

[contact-form][contact-field label=”Name” type=”name” required=”true” /][contact-field label=”Email” type=”email” required=”true” /][contact-field label=”Website” type=”url” /][contact-field label=”Message” type=”textarea” /][/contact-form]