Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Program Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) masih membuka permohonan moratorium bayaran balik pinjaman kepada peminjam yang memerlukan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd. Shahar Abdullah berkata, peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing.

“Mereka boleh menghubungi Bank Negara Malaysia (BNM) secara terus melalui BNM TELELINK di talian 1-300-88-5465 jika berdepan kesukaran semasa berurusan dengan pihak bank atau permohonan moratorium ditolak.

Beliau menjawab soalan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bakal melanjutkan pemberian moratorium kepada individu dan perusahaan dan adakah pemberian moratorium tanpa faedah terakru akan diperkenalkan.

Shahar menambah, industri perbankan telah mengumumkan Skim Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi golongan 50 peratus terbawah kumpulan pendapatan (B50), iaitu isi rumah berpendapatan sehingga RM5,880 yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19 pada 14 Oktober lalu.

“Di bawah program ini, peminjam golongan B50 yang memenuhi syarat akan mendapat pengecualian faedah selama tiga bulan dan juga pilihan untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman sehingga 24 bulan keseluruhannya,” katanya.

Beliau memberitahu, bank-bank akan terus menyediakan pakej bantuan termasuk pengurangan bayaran ansuran bulanan mengikut kemampuan peminjam bagi peminjam lain yang turut terkesan dan memerlukan bantuan dalam urusan bayaran balik pinjaman selepas pakej PEMULIH tamat.

“Peminjam juga boleh memohon pelbagai program yang ditawarkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) seperti Program Pengurusan Hutang, Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Skim Sokongan Daya Tahan Kewangan.

“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan institusi perbankan serta mempunyai ciri-ciri seperti ansuran bulanan yang berkurangan, pelanjutan tempoh bayaran balik dan program sokongan daya tahan kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette