Dua Pusat hiburan diserbu di daerah Cheras dan dua pemilik premis ditahan serta dikompaun manakala 56 pengunjung turut dikompaun berjumlah RM134,000 dalam operasi Selasa lalu.Gambar MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Keseronokan berhibur sehingga mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di dua buah pusat hiburan kelab malam menyebabkan 56 pengunjung menanggung akibatnya apabila dikenakan kompuan berjumlah RM134,000.

Selain itu, dua pemilik premis turut dikenakan kompaun dalam serbuan berasingan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, serbuan pertama dilaksanakan jam 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur bersama anggota IPD Cheras di sebuah premis hiburan di Taman Miharja, Cheras di sini.

“Dalam serbuan itu, pemeriksaan dilakukan ke atas 13 pengunjung dan juga pemilik premis yang mana pemilik berkenaan didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah menyebabkan dia ditangkap untuk tindakan lanjut serta kompaun RM25,000.

“Manakala 13 pengunjung pusat hiburan itu yang terdiri daripada warga tempatan telah dikeluarkan kompaun berjumlah RM19,500 iaitu RM1,500 setiap seorang kerana dikesan melakukan kesalahan melanggar SOP di bawah Akta 342 dan Pelan Pemulihan Negara 2021,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam serbuan tersebut juga, polis merampas beberapa peralatan hiburan antaranya alat pembesar suara, amplifier dan mikrofon.

Dalam perkembangan yang sama, pihaknya juga melancarkan serbuan di sebuah lagi pusat hiburan kira-kira sejam kemudian iaitu jam 11.30 malam di Jalan Loke Yew.

“Hasil pemeriksaan di premis kelab malam kedua itu mendapati seorang lelaki disyaki pemilik premis berkenaan turut ditahan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah dan dia dikenakan kompaun RM25,000.

“Turut diperiksa dalam premis itu adalah seramai 43 pengunjung tempatan yang sedang berhibur dengan minuman arak kerana terlibat dengan aktiviti hiburan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 dan Pelan Pemulihan Negara yang dilaksanakan kerajaan.

“Kesemua pengunjung berkenaan dikompaun RM1,500 seorang iaitu berjumlah RM64,500.

“Kita turut merampas peralatan yang digunakan untuk berhibur seperti satu unit amplifier, satu unit mikrofon dan 441 botol arak mewah pelbagai jenama,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (b) Akta Hiburan dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976 untuk tindakan lanjut polis. – MalaysiaGazette