Bot bawa penumpang tanpa lesen ditahan APMM Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN –  Tindakan pemilik sebuah bot membawa pelanggan bagi aktiviti memancing tanpa lesen membawa padah selepas mereka di tahan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang di sini semalam.

Bot dikendalikan tekong warga tempatan berusia 17 tahun itu ditahan pada kedudukan 0.2 batu nautika timur Batu Uban.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot berkenaan dikesan pasukan peronda yang menjalankan pemantauan Op Pertiwi pada pukul 5.40 petang.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati terdapat sembilan penumpang termasuk seorang kanak-kanak yang berusia lingkungan lapan hingga 64 tahun.

Abd Razak.

“Semakan lanjut, pengemudi bot gagal mengemukakan lesen serta kebenaran membawa penumpang.

“Susulan itu, bot dan kesemua mereka diiring ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Pulau Pinang bagi siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut kesalahan Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu beroperasi tanpa lesen bot yang sah dengan denda yang boleh dikenakan ialah maksimum RM10,000 jika didapati bersalah.

Mengulas lanjut Abd Razak berkata, semua pemilik dan tekong bot wajib mematuhi segala prosedur serta peraturan mengikut undang-undang di laut yang sedia ada.

“Penumpang juga harus peka sekiranya ingin menggunakan pengangkutan laut dengan memastikan bot yang dinaiki memiliki lesen serta berdaftar dengan pihak berkuasa supaya tahap keselamatan lebih terjamin sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini,” kata beliau. – MalaysiaGazette